Politik Abdullah Ahmad

Semasa di Amerika, beliau mengunjungi Lyndon Baines Johnson, Naib Presiden Amerika Syarikat di Capitol Hill, Washington DC pada Mac 1962. Lyndon adalah satu-satunya Presiden Amerika yang melawat Malaysia, iaitu pada 30 Oktober 1966 semasa Tunku Abdul Rahman Perdana Menteri.

Sekembali dari belajar di Amerika Syarikat ketika berusia 25 tahun, beliau dilantik menjadi ketua Bahagian UMNO Kok Lanas, Kelantan dan Pegawai Khas Tun Razak (1962). Kemudian dilantik menjadi Timbalan Menteri yang pertama di Jabatan Perdana Menteri (Ogos 1974-1976) setelah menang di parlimen Machang. Beliau merupakan bekas setiausaha politik Perdana Menteri Malaysia ke-2, Tun Abdul Razak sejak Oktober 1973. Abdullah bekerja dengan Tun Razak selama 14 tahun dari 1962 hingga 1976. Beliau menjadi ahli Parlimen Machang (1974-1978). Dalam pilihan raya umum 1986, Dr Mahathir meminta beliau bertanding di kerusi parlimen Kok Lanas, Kelantan dan menang (1986-1990).

Tahanan ISA

Abdullah Ahmad pernah merengkok di penjara selama lima tahun di bawah ISA (Julai 1976- 22 Julai 1981) di zaman pentadbiran Tun Hussein Onn kerana dipercayai terbabit dengan anasir subversif - komunis. Menteri Dalam Negeri ketika itu ialah Tan Sri Ghazali Shafie. Beliau ditahan di bawah ISA bersama Kassim Ahmad (7 tahun), Syed Husin Ali (7 tahun) dan Abdullah Majid (4 tahun) dan Tan Sri Abdul Samad Ismail . Ketika itu terdapat 900 tahanan ISA yang terbabit dengan komunis. Beberapa pemimpin UMNO cuba menyelamatkan beliau dari ditahan di bawah ISA seperti Dr Mahathir Mohamad , Ghafar Baba,Musa Hitam,Abdul Rahman Ya'kub dan Syed Nasir Syed Ismail .[2] Pada Februari 1977 sepatutnya Abdullah Ahmad dan Abdullah Majid mengadakan sesi pengakuan di televisyen berhubung pembabitan mereka dengan komunis.[3]

Ramai yang dibebaskan ketika Dr Mahathir Mohamad mula dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-5 pada Julai 1981. [4] Selepas dibebaskan dari tahanan politik, beliau menulis artikel dan buku termasuk yang 'menghentam balas' terhadap Ghazali Shafie. Ghazali Shafie atau 'King Ghaz' atau 'Ghulam' cukup tegas terhadap komunis dan berusaha menjadi Timbalan Perdana Menteri. Ghazali Shafie dari golongan tua sementara DKL dari golongan muda.